Khamis, 20 Disember 2018 | 11:52am
Pemangku Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, Mohamad Zaini Jaafar. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

PGB akan letak calon tanding PRK Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Parti Generasi Baru (PGB) mengesahkan seorang calonnya akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari depan.

Keputusan sebulat suara yang dibuat dalam Majlis Mesyuarat Tertinggi Unggul memutuskan Setiausaha Agungnya, Mohamad Zaini Jaafar akan bertanding merebut kerusi kontroversi itu.

Perkara itu dimaklumkan Mohamad Zaini dalam satu kenyataan ringkas kepada NSTP, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memutuskan akan bertanding atas tiket bebas dan bukan parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pada 22 Januari.

PRK itu diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC mewakili Barisan Nasional (BN), menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Semalam, PAS turut mengesahkan tidak akan meletakkan calon untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands.

1032 dibaca
Berita Harian X