Rabu, 19 Disember 2018 | 3:21pm
TAKIYUDDIN Hassan. - NSTP/Asyraf Hamzah

PAS tak bertanding PRK Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat jawatankuasa harian PAS Pusat.

“Sebagai sebuah parti pembangkang, PAS mengharapkan PRK ini menghasilkan keputusan untuk menguatkan lagi wakil pembangkang terutama di Parlimen.

“Hal ini penting kerana amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Dengan kata lain, peranan pembangkang adalah amat penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pada 22 Januari.

PRK itu diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC mewakili Barisan Nasional (BN), menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS akan memberikan sokongan kepada calon yang mewakili pembangkang pada PRK berkenaan.

“PAS menyeru dan akan mengarahkan ahli parti di kawasan berkenaan supaya keluar membuang undi sebagaimana pendirian parti,” katanya.

860 dibaca
Berita Harian X