Rabu, 19 Disember 2018 | 1:57pm
AZHAR Azizan Harun ketika sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Status kelayakan Sivarraajh sedang diteliti - SPR

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Datuk C Sivarraajh layak bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan, akan ditentukan sebelum hari penamaan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata pihaknya sedang meneliti dengan lebih lanjut laporan oleh Hakim Pilihan Raya mengenai kelayakan Sivarraajh yang juga penyandang kerusi berkenaan.

“Sekarang SPR juga sedang menunggu penasihat undang-undang dari pihak berkenaan mengenai status kelayakan itu. Selepas keputusan diterima, makluman mengenainya akan dibuat dengan segera.

“Keputusannya itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas sidang media PRK P.078 Cameron Highlands di sini hari ini.

Semalam, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran memaklumkan Sivarraajh antara calon yang akan disenarai MIC untuk dipertimbangkan bertanding pada PRK Parlimen Cameron Highlands.

Beliau berkata, Sivarraajh disenaraikan berikutan maklum balas positif daripada akar umbi selain beliau layak bertanding pada PRK itu kerana mahkamah menyatakan tiada keterangan bahawa Naib Presiden MIC itu terbabit dalam rasuah.

Terdahulu, SPR hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari depan dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pada 22 Januari.

372 dibaca
Berita Harian X