Selasa, 18 Disember 2018 | 7:32pm
NURUL Izzah Anwar - Foto DANIAL SAAD

Saya nekad dengan keputusan - Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Biarpun banyak gesaan supaya menarik balik keputusannya meletakkan jawatan dalam PKR dan kerajaan , Nurul Izzah Anwar nekad dengan tindakannya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau tetap dengan pendiriannya walaupun tersentuh dengan gesaan pelbagai pihak supaya menarik balik keputusannya.

“Saya tersentuh, tetapi tidak (akan kembali),” katanya ringkas seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Media sebelum ini melaporkan 13 Cabang PKR Pulau Pinang mendesak anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu untuk terus memegang jawatan dalam parti.

Nurul Izzah semalam membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan dalam parti.

Beliau juga memaklumkan tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Pusat dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan peranannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Pulau Pinang.

“Selepas ini, saya hanya akan menjadi Ahli Parlimen yang tidak mempunyai sebarang portfolio dalam usaha mereformasi kerajaan.

“Saya juga menyerahkan kepada kepemimpinan parti berhubung status saya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.

Berita Harian X