Selasa, 18 Disember 2018 | 11:17am
SAIFUDDIN Nasution pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Nurul Izzah mahu bebas suarakan aspirasi rakyat tanpa kongkongan politik - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Tindakan Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang dipercayai untuk memudahkannya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, sekali gus bebas menyuarakan aspirasi rakyat tanpa kongkongan politik.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Nurul Izzah memiliki idealisme tersendiri dan ingin memenuhi harapan rakyat dengan pantas.

“Baginya (Nurul Izzah), ini bukan masa untuk berpolitik, sebaliknya masa untuk berkhidmat dan memberi tumpuan bagi menterjemahkan semua harapan rakyat.

“Selain itu, kalau beliau mahu suarakan apa-apa secara terbuka, jawatan pertama yang akan orang ingat adalah, beliau anak Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua, beliau naib presiden parti dan namanya sangat besar... kalau bersuara, nanti orang akan salah tafsir dan menganggap beliau ada niat lain dan bukan seorang ‘team player’ yang baik,” katanya selepas menghadiri program Malaysia Hari ini, di Sri Pentas, hari ini.

Semalam, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.


SAIFUDDIN Nasution (kanan) bersama pengacara Fedtri Yahya pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Selain itu, beliau turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata beliau ada bertemu Nurul Izzah semalam, malah berkesempatan untuk berbual panjang berhubung isu terbabit.

Katanya, Nurul Izzah memaklumkan beliau turut melakukan solat istikharah dan percaya tindakannya itu adalah langkah terbaik bagi membolehkannya memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen.

“Beliau (Nurul Izzah) memilih untuk menjadi ahli biasa dan sebagai Ahli Parlimen, beliau boleh membawa aspirasi rakyat tanpa kongkongan.

“Keputusannya memang ada kaitan dengan latar belakang dan perkembangan politik semasa, termasuklah tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang beramai-ramai keluar parti.

“Bagaimanapun, ia lebih kepada kemelut politik nasional, bukannya soal gelodak dalam PKR,” katanya.

1782 dibaca
Berita Harian X