Isnin, 17 Disember 2018 | 11:08pm
NURUL Izzah Anwar - Foto SADDAM YUSOFF

PKR Perak gesa Nurul Izzah pertimbang keputusannya

IPOH: PKR Perak menggesa Nurul Izzah Anwar mempertimbangkan semula keputusannya dan menarik kembali peletakan jawatan demi kepentingan parti, gabungan dan negara.

Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata anggota parti dan pemimpin di Perak mengakui sumbangannya dan menghormati keputusannya untuk memperlihatkan prinsip lebih penting dari jawatan dan keuntungan peribadi.

“Dengan meletakkan diri dari semua jawatan yang disandang dalam parti akan memberi penampilan yang lebih adil dan objektif dari segi luaran, namun adalah lebih bermanfaat sekiranya pembaharuan di dalam parti dapat diketuai oleh Nurul Izzah sendiri.

“Kami memahami keputusan awalnya dan menghormati niatnya tetapi sekarang adalah masa untuk berdiri bersama dan menjalankan reformasi di setiap negeri secara kolektif dan yang paling penting tunjuk kepada negara kita apa itu demokrasi matang,” katanya dalam dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kewibawaan Nurul Izzah dinilai dari segi kredibiliti dan kualiti usaha beliau di dalam parti dan untuk negara, tiada isu nepotisme atau kronisme, tetapi Nurul Izzah adalah digemari ramai dari segi merit kepada parti di peringkat negeri dan kepimpinan tertinggi nasional.

“Kepercayaan yang diberi kepada beliau oleh ahli-ahli parti juga menggesa untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat demi masa depan kami.

“Perdebatan mengenai kewujudan puak adalah faktor utama mengapa ada segelintir pihak merasakan peranan presiden dalam proses penamaan MPN adalah sekadar meyakinkan setiap ketua untuk membentuk keputusan yang sewajarnya tanpa sebarang pengaruh luar.

“Mengapakah kita masih menjadikan kemampuan individu yang dipilih dan lebih-lebih lagi seseorang seperti Nurul Izzah hanya kerana salah silah keluarganya,” katanya.

Nurul Izzah hari ini dilaporkan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataannya, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

1194 dibaca
Berita Harian X