Isnin, 17 Disember 2018 | 7:39pm

PKR Kelantan mohon Nurul Izzah tarik balik keputusan

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan memohon supaya Nurul Izzah Anwar menarik balik keputusannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor, berkata Nurul Izzah perlu mempertimbangkan keputusannya itu kerana beliau sudah diberi mandat oleh anggota PKR untuk menjawat jawatan itu.

Katanya, sebahagian besar Ketua Cabang PKR Kelantan senada dengannya memohon Nurul Izzah tidak meneruskan hasratnya itu.

"PKR Kelantan dengan rendah diri memohon Nurul Izzah membatalkan niatnya untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

"Hampir semua Ketua Cabang PKR Kelantan turut berpendapat supaya Nurul Izzah terus kekal dengan jawatannya sekarang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, PKR masih memerlukan Nurul Izzah kerana beliau dilihat sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan banyak berkorban dengan parti.

"Ketiadaan Nurul Izzah adalah satu kehilangan besar untuk parti kerana kita tidak banyak pemimpin wanita secekalnya dalam agenda memartabatkan bangsa negara.

"Oleh itu, kita harap Nurul Izzah dapat mempertimbangkan permohonan kami ini, kerana masih memerlukan khidmatnya untuk terus memimpin PKR," katanya.

NSTP hari ini melaporkan Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

906 dibaca
Berita Harian X