Isnin, 17 Disember 2018 | 6:59pm
DATUK Seri Mahadzir Khalid - Foto ZUNNUR AL SHAFIQ

MKT akan bincang isu politik wang, sogok YB Pahang keluar BN - Mahadzir

KUALA LUMPUR: Isu politik wang dalam perebutan jawatan presiden ketika pemilhan parti Jun lalu dan dakwaan wujud gerakan menyogok wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Pahang untuk keluar parti akan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid, berkata buat masa ini MKT belum menetapkan tarikh mesyuarat itu akan diadakan namun percaya dua isu terbabit akan menjadi perhatian ahli untuk membincangkannya.

“Kita belum mendapat laporan penuh berhubung politik wang dalam pemilihan jawatan presiden. Kita hanya dapat tahu menerusi media yang melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima laporan.

“Apa-apa hal pun kita kena dapatkan maklumat dulu. Soal gerakan menyogok wakil rakyat Pahang keluar BN pun kita baru dimaklumkan.

“Kita akan bincanglah nanti dalam mesyuarat MKT. Tapi tarikh belum ditetapkan. Sepatutnya ia dibincangkan,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata wujud gerakan membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri itu.

Dalam portal UMNO Online, beliau berkata, ada ‘gunting dalam lipatan’ yang mengugut dan memujuk Ahli Parlimen dan ADUN agar kerajaan BN Pahang tumbang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki SPRM mengesahkan menerima laporan dakwaan rasuah terhadap Ahmad Zahid pada pemilihan parti itu, yang dibuat pada Jumaat lalu.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memilih untuk tidak mengulas kedua-dua isu yang timbul ini ketika dihubungi.

Berita Harian X