Isnin, 17 Disember 2018 | 6:24pm
TIMBALAN Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Nurul Izzah letak jawatan: PKR Permatang Pauh terkejut, sedih

BUTTERWORTH: PKR Cabang Permatang Pauh menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi negeri.

Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin, berkata keputusan Nurul Izzah itu mungkin didorong oleh kekecewaannya terhadap hala tuju parti dan senario politik dalaman.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepemimpinan tertinggi perlu mengambil langkah proaktif bagi menarik keyakinan ahli.

“Kami ingin menyeru terutamanya kepada kepimpinan tertinggi PKR untuk mengambil langkah proaktif untuk membentuk semula kesepakatan dan keyakinan anggota kepada parti, terutamanya pada pasca Pemilihan 2018.

“Kepimpinan tertinggi parti juga perlu mengambil pendekatan inklusif, berlapang dada dan penuh hikmah demi memastikan kelangsungan perjuangan parti dan reformasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Afif berkata, pelantikan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden adalah melalui pemilihan parti yang sah, justeru kepemimpinan tertinggi perlu menilai dan mengkaji semula keputusan berkenaan.

"Siapa yang akan memangku dua jawatan yang dikosongkan ini masih belum ditentukan memandangkan keputusan itu dibuat kurang daripada 24 jam," katanya.

Nurul Izzah hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Semalam PKR mengumumkan perlantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

9145 dibaca
Berita Harian X