Isnin, 17 Disember 2018 | 5:48pm
SETIAUSAHA Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar. - Foto Rosela Ismail

SPR mesyuarat bincang PRK Cameron Highlands pada Rabu ini

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Rabu ini.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bertempat di Bilik Gerakan, Menara SPR bermula jam 10.30 pagi.

Menurutnya, mesyuarat sama akan membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu selain persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“Satu sidang media pula akan diadakan selepas mesyuarat khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi Cameron Highlands kosong selepas mendapati terdapat amalan rasuah yang membawa kepada kemenangan calon BN iaitu Datuk C Sivarraajh.

Calon DAP, M Manogaran, mengemukakan petisyen pada Jun lalu yang mendakwa Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 apabila didakwa menyogok pengundi Orang Asli.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui tok batin bagi memastikan kemenangan BN dalam pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).

Sebelum ini, Sivarraajh menyatakan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu itu.

Beliau menyatakan akan menghadapi pilihan raya kecil selaras dengan keputusan yang dipersetujui di peringkat kepemimpinan Barisan Nasional (BN) dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.

509 dibaca
Berita Harian X