Isnin, 17 Disember 2018 | 5:21pm
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad. - Foto Rasul Azli Samad

Laporan SPRM cubaan terdesak rosakkan parti - UMNO Melaka

MELAKA: UMNO Melaka berpendapat sebarang laporan salah laku, termasuk isu rasuah di peringkat pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 lalu perlu dibuat mengikut saluran Jawatankuasa Disiplin UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata sebaliknya tindakan ‘pelik’ cuba dibuat pihak yang mempunyai agenda tertentu untuk merosakkan parti apabila melaporkan isu dakwaan rasuah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebarang dakwaan perlulah mengikut prosedur, kerana parti mempunyai saluran (Jawatankuasa Disiplin), bukannya membuat terus laporan kepada SPRM sebagaimana dilaporkan pada Jumaat lalu.

“Ini seolah-olah wujudnya ‘gunting dalam lipatan’ dalam parti sendiri yang cuba untuk melemahkan perjuangan parti dengan melakukan pengkhianatan terbesar menerusi laporan (SPRM) berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini SPRM mengesahkan menerima laporan dakwaan rasuah terhadap Ahmad Zahid pada pemilihan parti itu, Julai lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata, laporan itu dibuat pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Ali juga berpendapat UMNO kini berdepan saat paling getir sepanjang perjuangannya, termasuk pemimpin dan ahlinya yang berpaling tadah susulan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini keadaan paling getir dialami UMNO lebih-lebih lagi apabila ada pihak di dalam parti sendiri yang cuba mengeruhkan lagi keadaan di saat UMNO cuba bangkit,” katanya.

Berita Harian X