Isnin, 17 Disember 2018 | 3:38pm
PENGERUSI UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Bangunan UMNO negeri di Shah Alam, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Siasatan rasuah ke atas semua parti politik - Ismail

SHAH ALAM: Siasatan mengenai dakwaan wujud rasuah ketika pemilihan parti perlu dibuat terhadap semua parti politik dan tidak hanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sememangnya tidak mengetahui perkara itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Jika ada siasatan seperti itu, kena siasat semua. Dulu PKR (Parti Keadilan Rakyat) ketika pemilihan juga ada laporan seumpama itu.

“Sekiranya mahu siasat dari segi pertandingan, kena siasat semua parti di negara ini,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO negeri di sini, hari ini.

NSTP hari ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan menerima laporan dakwaan rasuah terhadap Ahmad Zahid sewaktu pemilihan parti itu, Julai lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Jumaat lalu.

Berita Harian X