Isnin, 17 Disember 2018 | 3:35pm
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad. - NSTP/Muhaizan Yahya

Ahli jangan terus hukum Presiden UMNO selagi belum terbukti bersalah - Saarani

IPOH: Semua ahli UMNO diingatkan supaya tidak terlalu mengikut rentak parti lawan yang ketika ini sedaya upaya sedang cuba untuk membunuh karektor pemimpin UMNO melalui pelbagai tuduhan salah laku termasuk yang terbaharu membabitkan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa melakukan sogokan pada pemilihan parti yang lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata apa yang perlu dilakukan semua ahli UMNO dan penyokong parti ketika ini adalah dengan memanjatkan doa supaya diberikan petunjuk siapa yang benar dan siapa yang salah.

“Pelbagai tuduhan yang dilakukan sebelum ini hingga membuatkan yang dituduh dihukum terlebih dulu sebelum dibuktikan bersalah hanya bertujuan untuk membunuh karektor pemimpin UMNO tanpa memberikan peluang mereka membela diri.

“Jadi saya ingatkan semua ahli parti supaya jangan terlalu mengikut telunjuk dan rentak pemimpin parti lawan yang senantiasa mencari jalan untuk menghancurkan dan memusnahkan UMNO,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, biarlah mahkamah yang membuat keputusan sama ada yang dituduh itu bersalah atau sebaliknya dan sebagai ahli parti kita tidak perlu terus melatah dengan semua dakwaan yang tuduhan yang dilemparkan dan jika benar dakwaan sedemikian wujud, biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan kerja mereka.

Berita Harian X