Isnin, 17 Disember 2018 | 3:29pm
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui media selepas sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di Cyberjaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Tindakan Nurul Izzah bersebab - Dr Mahathir

CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden PKR dilakukan berdasarkan sebab-sebab tertentu.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan pada masa sama, mengakui tidak tahu menahu mengenai apa yang sedang berlaku dalam parti berkenaan.

“Beliau (Nurul Izzah) mesti ada sebab tertentu,” katanya ketika ditemui media selepas sesi dialog Perdana Menteri bersama 50 pemain industri anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang ditemui pada majlis sama berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nurul Izzah bagi mendapatkan penjelasan lanjut tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu melepaskan semua jawatannya hari ini.

“Saya baharu sahaja menerima berita tersebut pagi ini. Saya akan berjumpa dengannya untuk bertanyakan apa yang berlaku,” katanya.

Hari ini, Nurul Izzah dalam kenyataannya melepaskan semua jawatannya di dalam PKR termasuk Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Selain itu, Nurul Izzah turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

5841 dibaca
Berita Harian X