Ahad, 16 Disember 2018 | 5:10pm
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. - Foto Faiz Anuar

Ahli PKR Selangor perlu rapatkan saf - Amirudin

SHAH ALAM: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor perlu merapatkan saf dan menyingkirkan perasaan curiga sesama mereka.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Selangor, Amirudin Shari, berkata ia berikutan ini adalah waktu untuk PKR bekerja demi rakyat Selangor.

“Saya menggesa agar seluruh anggota PKR merapatkan saf dan menyingkirkan segala kecurigaan dan buruk sangka sesama kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, sekembalinya beliau dari mengerjakan umrah, satu mesyuarat parti akan diadakan.

“Satu mesyuarat akan diadakan sekembalinya saya dari mengerjakan umrah di tanah suci bagi membincangkan serta menetapkan ahli jawatankuasa di peringkat Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin melahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan tertinggi PKR kerana memilih beliau sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor untuk penggal 2018-2021.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pimpinan pusat terutamanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana memberi kepercayaan mengemudi PKR Selangor.

“Terima kasih juga kepada semua Ketua-Ketua Cabang di Selangor yang turut memberi kepercayaan kepada saya.

“Saya menerima jawatan ini dengan tekad untuk bersama-sama memastikan parti yang kita kasihi ini semakin kuat, berkebolehan menerajui Agenda Reformasi dan berkemampuan melaksanakan segala program bermanfaat khususnya buat rakyat Selangor,” katanya.

Berita Harian X