Jumaat, 14 Disember 2018 | 7:21pm
Dr Mahathir mengesahkan pertemuannya bersama enam pemimpin UMNO seperti yang tular baru-baru ini adalah untuk menyatakan hasrat mereka keluar daripada UMNO.

Mereka mahu nasihat saya untuk tinggalkan UMNO - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pertemuannya bersama enam pemimpin UMNO seperti yang tular baru-baru ini adalah untuk menyatakan hasrat mereka keluar daripada UMNO.

"Mereka datang jumpa saya dan beritahu yang mereka akan meninggalkan UMNO.

"Mereka mahukan nasihat saya. Cuma itu, tak ada yang lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan pertemuan beliau dan lima lagi pemimpin UMNO Dr Mahathir seperti Oktober lalu, ada kaitan dengan tindakan mereka untuk keluar parti atau memohon ‘talian hayat’ seperti yang viral di laman sosial sejak Rabu lalu.

Sebaliknya, kata Mohamad, ia adalah pertemuan bagi membincangkan saranan Dr Mahathir yang sebelum itu mahukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membubarkan parti berkenaan.

Dalam foto yang tersebar itu menunjukkan Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Shahidan Kassim serta seorang lagi pemimpin UMNO mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.

Berita Harian X