Jumaat, 14 Disember 2018 | 6:44pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengerusi Yayasan AlBukhary, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (kiri) semasa lawatan ke Perpustakaan Scholar selepas pelancaran rasmi Perpustakaan Scholar di Muzium Seni Islam Malaysia. Turut hadir, Pengarah Muzium Seni Islam, Syed Mohamad Albukhary (kanan). - Foto Sairien Nafis

Hanya pemimpin UMNO yang 'baik' diterima sertai BERSATU - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mempertahankan tindakannya menerima kemasukan bekas Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekalipun tidak dipersetujui rakan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun, hanya ahli UMNO yang ‘baik’ sahaja akan diterima menyertainya serta disyaratkan perlu menjadi parti bebas sebelum mewakili parti kerajaan di dalam PH.

“Ada orang UMNO yang baik pun ada, yang jahat pun ada. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terimalah.

“Saya sendiri ahli UMNO (dulu) mereka (DAP dan PKR) terima saya. Kit Siang (Lim Kit Siang) terima saya.

“Bukan pasal ahli, (tapi) pasal apa yang kita buat. Kalau kita buat sesuatu yang salah sudah tentulah kita akan ditolak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-20 Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, semalam dilaporkan berkata, rakan komponen PH itu mengingatkan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri supaya tidak mengambil pemimpin ‘katak’ merujuk kepada ahli UMNO Sabah yang keluar parti untuk menyertai BERSATU.

Tian Khiew juga membangkitkan bahawa pernah mendengar Dr Mahathir menggelar pemimpin UMNO sebagai ‘tidak berguna’ dan ‘sampah’ sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.

Rabu lalu, UMNO Sabah lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas.

Hari ini, enam lagi Ahli Parlimen UMNO dilaporkan mengumumkan keluar parti.

Mereka adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kelmarin, Veteran UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, turut dilaporkan menyertai BERSATU.

Dalam perkembangan sama ketika tanya adakah semua bekas pemimpin UMNO yang mengumumkan keluar parti itu terutamanya di Sabah akan terus diterima menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata, ada syarat yang perlu dipatuhi.

“Masuk BERSATU ada syaratnya, dia (bekas pemimpin UMNO) kena jadi (wakil)Bebas serta sokong kerajaan.

“Selepas itu kita akan buat penilaian seorang demi seorang barulah boleh diterima masuk BERSATU,” katanya.

Ditanya bagaimanakah penerimaan terhadap tindakan DAP dan PKR yang seolah tidak merestui kemasukan bekas pemimpin UMNO menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata; “Dalam BERSATU pun ada yang tak suka, jadi suka tak suka itu soal peribadi.”

1447 dibaca
Berita Harian X