Khamis, 13 Disember 2018 | 3:20pm
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail, Rizam Ismail. - Foto Faiz Anuar

Empat ADUN UMNO Selangor kekal setia - Rizam

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail menegaskan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di negeri ini kekal bersama parti itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, berkata, dirinya bersama Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong), Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam) dan Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang) menyatakan solidariti terhadap kepemimpinan parti di peringkat Pusat.

“Tidak timbul isu hilang kepercayaan terhadap UMNO. Saya tetap berpendirian bahawa UMNO masih kuat. Kepada pemimpin yang tinggalkan UMNO, biarkan mereka (keluar). Kita tidak perlu merayu supaya mereka berpatah balik.

“Dalam konteks Selangor, UMNO di negeri ini akan menjadi pembangkang yang berwibawa serta bertanggungjawab. Rakyat, khususnya orang muda di luar sana sedang memerhatikan apa yang wakil rakyat kerajaan atau pembangkang sedang lakukan,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Imran menempelak sikap bekas pemimpin yang memberi alasan kononnya UMNO sudah tidak relevan bagi `menghalalkan’ tindakan mereka.

“Mana-mana pemimpin yang keluar selepas UMNO kalah ialah golongan yang tidak boleh dipercayai. Kenapa baru keluar sekarang? Sepatutnya mereka keluar sebelum PRU (pilihan raya umum).

“Selama ini mereka menikmati pelbagai nikmat ketika UMNO menjadi kerajaan. Saya harap rakyat menolak pemimpin seperti ini pada PRU akan datang.

“Apa pun kita berharap semua pihak dalam UMNO bertenang. Namun, pada masa sama kepemimpinan Pusat perlu menyatakan dengan jelas hala tuju parti,” katanya.

Semalam, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian meninggalkan parti itu serta mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), manakala dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Secara keseluruhan, sembilan ADUN, empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian Umno Sabah meninggalkan parti itu.

Berita Harian X