Khamis, 13 Disember 2018 | 3:08pm
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran. - Foto Zunnur Al Shafiq

DAP sedia berdepan PRK Cameron Highlands

KUANTAN: DAP sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands susulan keputusan MIC tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan MIC yang menyerahkan kepada pengundi di kawasan berkenaan membuat pilihan menerusi PRK berbanding membawanya ke mahkamah.

“Saya terkejut kerana mereka tidak membuat rayuan...saya fikir mereka akan berbuat demikian, yang mungkin mengambil masa.

“Sebaliknya, mereka mahu rakyat membuat keputusan, bukannya mahkamah, Pakatan Harapan (PH) bersedia dengan cabaran itu.

“Ia pasti sukar kerana ada kemungkinan ramai calon bebas akan menawarkan diri bertanding dan mungkin berlaku pertandingan lima penjuru seperti pada PRU-14, PAS mungkin tidak bertanding dan menyokong BN,” katanya di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenangi BN menerusi calonnya, Datuk C Sivarrajh pada PRU-14 diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Pada PRU-14, Sivarajjh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ia berikutan Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Dalam pada itu, Manogaran berharap dapat memenangi kerusi itu dalam percubaannya buat kali ketiga sekiranya dipilih bertanding pada PRK selepas tewas pada PRU 2013 dan 2018.

“Saya bersedia menjadi calon tetapi biar pucuk pimpinan parti membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, berkata pihaknya sudah bersedia menggerakkan jenteranya dan menyokong sesiapa saja calon dipilih pucuk pimpinan.

Berita Harian X