Rabu, 12 Disember 2018 | 8:14pm
DATUK Seri Ronald Kiandee (kiri) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto NSTP

Ronald perlu lepas jawatan Pengerusi PAC - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ronald Kiandee perlu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan tindakan beliau keluar UMNO yang diumumkan hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan menghantar notis berhubung perkara berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat bagi tindakan susulan.

“Perkara ini berkaitan dengan manifesto kerajaan sekarang. Ia berbeza dengan UMNO di Sabah. Jika berpegang pada prinsip, kita akan kenal pasti siapa untuk gantikan tempat beliau.

“Notis berhubung perkara ini akan dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat, mengenai kedudukan PAC dan beri cadangan nama Ahli Parlimen untuk ganti tempat beliau (Ronald),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Kata Ahmad Zahid lagi, beliau merujuk kepada kerajaan sekarang untuk meletakkan pemimpin parti pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.

“Apa yang beliau (Ronald) nyatakan, itu hak beliau. Kita merujuk kepada kerajaan sekarang.

“Kalau beliau masih bersama kita, kita akan pertahankan. Tapi bila beliau umum keluar, maka tokoh mesti dari parti pembangkang,” katanya.

Terdahulu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, berkata beliau masih belum boleh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PAC biarpun sudah meninggalkan UMNO.

“Saya akan berlaku tak adil kepada PAC jika saya kosongkan kerusi ketika Parlimen tidak bersidang.

“Ini kerana apabila pengerusi letak jawatan, jawatankuasa tidak boleh bermesyuarat. Saya serahkan perkara ini kepada Perdana Menteri,” katanya.

Ronald antara sebahagian daripada penghijrahan besar-besaran wakil rakyat dan pemimpin UMNO Sabah hari ini.

Kumpulan itu akan bergerak sebagai ahli politik bebas tetapi menyokong Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri.

1030 dibaca
Berita Harian X