Jumaat, 7 Disember 2018 | 9:21am
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail. - Foto Amran Hamid

Sertai BERSATU kerana agama, bangsa dan agama - Ku Rahman

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, menegaskan keputusannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah atas prinsip agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata, penyertaannya menjadi ahli BERSATU mempunyai asas yang kukuh seperti mana keputusannya menyertai UMNO pada tahun 1973.

“Saya ada asas tersendiri kenapa saya sertai BERSATU... dulu saya masuk UMNO pun disebabkan asas yang saya pegang sekarang ini iaitu agama, bangsa dan negara.

“Tindakan menyertai BERSATU juga atas faktor keyakinan saya kepada pucuk pimpinan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu memimpin parti dan negara dengan baik... bukannya terus menyokong pemimpin yang membawa hala tuju yang tidak baik kepada parti dan negara.

“Keyakinan ini sama apa yang saya rasakan apabila menyertai UMNO satu ketika dahulu. Kepemimpinan BERSATU kini mempunyai asas dan perjuangan yang sama seperti UMNO dahulu,” katanya kepada NSTP, tengah malam tadi.

NSTP semalam melaporkan, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumkan Ku Rahman yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, sudah menjadi ahli BERSATU.

Menteri Besar Kedah itu berkata Ku Rahman yang pernah menjadi EXCO kanan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) itu, ada menghantar borang keahlian baru-baru ini.

November lalu, Ku Rahman melalui Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim, mengumumkan keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas pada sidang DUN ke-14 Mesyuarat Ketiga Penggal.

Beliau ketika ditanya mengenai bilakah borang permohonannya dihantar, Ku Rahman memaklumkan, borang itu dihantar ke pejabat Mukhriz pada Isnin lalu.

“Dalam tempoh sehari, saya sudah menerima pemakluman melalui e-mel bahawa permohonan saya sudah diterima berkuatkuasa Selasa lalu,” katanya.

2799 dibaca
Berita Harian X