Selasa, 4 Disember 2018 | 4:34pm
Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Rantau susulan beliau antara yang dicalonkan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK). - Foto NSTP

PRK Rantau: Suami isteri sedia jadi calon PKR

SEREMBAN: Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam mengakui tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhadapan dengan isterinya yang juga Ketua Wanita cabang berkenaan, selepas nama mereka berdua dicalonkan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu nanti.

Ketika dihubungi, Tanggam, 55, berkata, beliau menyokong penuh pencalonan isterinya, K Bathmavathi, 45, yang disebut-sebut sebagai antara pilihan utama untuk bertanding di atas tiket Pakatan Harapan (PH) di PRK Rantau.

“PKR Cabang Rembau telah sebulat suara menamakan Bathmavathi sebagai antara calon untuk bertanding di Rantau, selain saya dan Dr S Streram.

“Saya merasakan keputusan ini adalah tepat kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu, PKR tidak meletakkan sebarang calon wanita untuk bertanding di Negeri Sembilan. Ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan parti yang telah menggariskan 30 peratus calon PRU mestilah calon wanita,” katanya.

Tanggam berkata, sekiranya pucuk pimpinan parti memilih isterinya sebagai calon PH PRK Rantau, beliau tidak akan berkecil hati dan akan tetap membantu jentera parti bagi memastikan kemenangan PH.

“Sebagai anak jati Rantau yang telah lama tinggal di Felda Sendayan, sejujurnya saya berharap saya akan dipilih untuk bertanding di PRK Rantau. Bagaimanapun, kami tetap akan menghormati segala keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.

Selain Tanggam dan isterinya, nama lain yang turut disebut sebagai calon bagi PRK Rantau adalah,Timbalan Ketua Cabang Rembau, Dr S Streram, peguam terkenal, Datuk Hanif Hasan dan ahli jawatankuasa PKR Cabang Rembau, Saparin Musa.

Bagi Bathmavathi yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR dan Naib Ketua Wanita PH Negeri Sembilan, pencalonan dirinya dan suami bagi merebut kerusi yang sama tidak menimbulkan sebarang situasi tegang di antara mereka berdua.

“Beliau (Tanggam) sudah lama berjuang bersama parti sejak dari tahun 1998. Beliau juga anak jati Rantau dan mempunyai hak untuk dicalonkan dan bertanding di kerusi DUN Rantau.

“Saya juga mempunyai hak yang sama. Tidak timbul sebarang isu sekiranya nama kami berdua dicalonkan, sedangkan ahli pucuk pimpinan parti juga ada yang terdiri daripada suami isteri dan anak juga,” katanya.

Ketika ditanya tentang peluang parti itu untuk memenangi kerusi DUN Rantau yang merupakan kubu kuat Umno yang telah dimenangi oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan selama tiga penggal berturut-turut, Bathmavathi berkata, beliau yakin PH mampu memenangi kerusi itu pada PRK Rantau yang akan diadakan.

“Di dalam politik, apapun boleh terjadi. Saya tidak gentar berhadapan dengan Tok Mat (Mohamad) walaupun ramai yang beranggapan pengaruh beliau masih kuat di Rantau,” katanya.

1488 dibaca
Berita Harian X