Selasa, 4 Disember 2018 | 3:58pm
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ditemuramah wartawan ketika persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto Azhar Ramli

5,000 ahli UMNO, PAS pantau himpunan 8 Disember

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO dan PAS mengerahkan kira-kira 5,000 ahlinya untuk turun bersama-sama bagi memantau dan menyelaras perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, Sabtu ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kehadiran ahli UMNO dan PAS itu bertujuan membantu polis memastikan perhimpunan berlangsung aman tanpa provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Kita bukan penganjur, tetapi hadir dan Pemuda UMNO ada membentuk 3,000 ahli, manakala PAS mempunyai Unit Amal dengan kira-kira 2,000 anggota pada perhimpunan ini.

“Semua 5,000 ahli ini akan bekerjasama dengan polis dan kita harap pihak berkuasa turut memantau supaya perhimpunan itu aman tanpa provokasi yang sengaja memburukkan nama penganjur,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Annuar berkata, pembangkang tidak mahu timbul situasi ada pihak sengaja merancang keganasan bagi memburukkan penganjur.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi ICERD, Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, dipetik sebagai berkata, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 petang hingga 6 petang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ahli yang menyertai himpunan diingatkan supaya merakam gambar atau apa juga bukti jika berlaku provokasi untuk diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Berita Harian X