Isnin, 3 Disember 2018 | 6:10pm
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto Hazreen Mohamad

MCA berdolak-dalik

SEREMBAN: “Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang enggan memikul tanggungjawab atas kekalahan dan membebankan ketika berada dalam kedudukan paling susut,” kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata keputusan perwakilan MCA untuk membubarkan BN tidak sukar difahami kerana sentimen negatif terhadap BN semakin menebal selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, bagaimanapun sebagai parti yang berprinsip, MCA sepatutnya lebih tegas dengan meninggalkan BN tanpa syarat seperti dilakukan parti komponen lain sebelum ini.

“Keputusan untuk membubarkan BN jelas menunjukkan MCA tidak mahu dilihat meninggalkan BN bersendirian kerana enggan dipersalahkan jika keputusan itu dianggap sebagai langkah mundur ke belakang.

“Keputusan MCA itu sangat berdolak-dalik. Mereka masih tidak dapat berpisah dengan BN, kerana itu mereka tidak membuat keputusan keluar daripada BN,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA Ke-65 sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pelbagai tohmahan dilemparkan MCA kepada BN selepas PRU-14 seolah-olah lupa disebabkan kesepakatan itu, parti berkenaan terus mempunyai wakil dalam kerajaan walaupun tewas banyak kerusi pada PRU.

“Jangan lupa, banyak kerusi majoriti Melayu yang UMNO serahkan kepada MCA atas semangat BN walaupun MCA tidak menang di kawasan bandar kerana parti itu memang tidak mendapat sokongan masyarakat Cina kawasan terbabit.

“Melalui permuafakatan BN juga (pemimpin) MCA mendapat pelbagai jawatan lain, malah melalui BN juga Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman ditubuhkan,” katanya.

Mohamad berkata, cadangan MCA untuk menubuhkan perikatan baharu tidak banyak berbeza daripada meneruskan BN kerana akan tetap dianggotai oleh parti yang bukan anggota Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menegaskan, formula politik BN bukan masalah dalam pilihan raya lalu sebaliknya menjadi instrumen politik paling berjaya dalam membangunkan Malaysia selama 60 tahun.

“MCA jangan lupa, pada 1957, paradigma BN itulah yang membidani kelahiran sebuah negara bernama Malaya. Ketika itu, di Amerika Syarikat, orang kulit putih masih tidak membenarkan orang kulit hitam pergi ke sekolah atau menaiki bas yang sama.

“Sebaliknya, UMNO, MCA dan MIC pada ketika itu sudah menjayakan kesepakatan membentuk sebuah negara berbilang bangsa, agama dan latar belakang,” katanya.

840 dibaca
Berita Harian X