Ahad, 2 Disember 2018 | 1:08pm
PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung MCA ke-65 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

MCA keluar BN petang ini?

KUALA LUMPUR: Petang ini menjadi detik penentuan sama ada MCA kekal atau keluar dari Barisan Nasional (BN), parti komponen tertua negara.

Spekulasi parti itu meninggalkan BN menjadi isu panas selepas buat kali pertama tidak menjemput rakan sekutu menghadiri perasmian Perhimpunan Agung 2018 yang berlangsung semalam dan hari ini di Wisma MCA, di sini.

Buat kali pertama juga Pengerusi BN bukan perasmi perhimpunan itu, malah, tiada jemputan kepada rakan sekutu mereka dalam BN.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata ini bagi membolehkan perwakilan parti bebas menyuarakan pandangan, tanpa sekatan dan berkongsi perasaan mereka sama ada kekal dalam BN atau sebaliknya.

MCA dan UMNO antara dua parti terawal membentuk gabungan parti Perikatan pada 1952 sebelum disertai MIC dan pada 1973 sekali lagi kedua-dua parti menubuhkan BN menggantikan Perikatan.

Kedua-dua parti itu buat kali pertama menyertai pilihan raya pada 1952, iaitu Pilihan Raya Perbandaran Kuala Lumpur dan memenanginya sebelum, memenangi Pilihan Raya Umum Malaya yang pertama pada 1955.

Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Dr Hoo Ke Ping, yakin MCA akan meninggalkan BN berikutan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Katanya, pengundi Cina menolak parti itu kerana hubungannya dengan UMNO yang terpalit pelbagai isu kontroversi seperti penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, selagi parti itu kekal dalam BN, pengundi Cina akan terus menolaknya kerana menganggap UMNO yang selama ini kawan baik, kini tidak boleh lagi diharap dan semakin lemah.

“Saya pernah menjadi ahli MCA dan masih berhubung dengan pemimpin parti itu dan maklumat saya peroleh mereka akan meninggalkan BN, hari ini.

“Ini disusuli dengan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membuat keputusan rasmi mengikut Perlembagaan parti. Jika tidak keluar hari ini mereka akan keluar pada masa akan datang,” katanya kepada BH, hari ini.

Dalam PRU-14, MCA kalah teruk dan hanya memenangi tiga kerusi masing-masing sebuah Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), itupun di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Kerusi berkenaan ialah Parlimen Ayer Hitam di Johor yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti hanya 303 undi. Kerusi berkenaan mempunyai 46,157 pengundi dengan pengundi Melayu meliputi sebanyak 66.72 peratus, Cina (31.4 peratus) dan India (1.33 peratus), manakala bakinya lain-lain (0.48 peratus).

Dua kerusi DUN pula ialah DUN Cheka dalam Parlimen Lipis di Pahang yang dimenangi Lee Ah Fong dengan majoriti kecil 202 undi. Kerusi itu mempunyai pengundi seramai 12,585 orang dengan majoriti pengundi Melayu iaitu sebanyak 71.4 peratus, Cina (22.40 peratus), India (4.81 peratus) dan lain-lain (1.32 peratus).

Sebuah lagi kerusi ialah DUN Titi Tinggi dalam Parlimen Padang Besar di Perlis menerusi Teh Chai Aan yang menang dengan majoriti 142 undi. Jumlah pengundi kerusi itu ialah 10,111 orang dengan pengundi Melayu sebanyak 77.83 peratus, Cina (19.29 peratus), India (2.13 peratus) dan lain-lain (0.75 peratus).

2031 dibaca
Berita Harian X