Sabtu, 1 Disember 2018 | 6:04pm
TIMBALAN Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Dr Streram terus bekerja

PORT DICKSON: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, akan meneruskan kerja politik seperti biasa walaupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dijangka berlangsung lebih lewat daripada jangkaan awal.

Dr Streram yang disebut-sebut sebagai bakal calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, berkata beliau menyampaikan khidmat kepada masyarakat atas kapasiti sebagai Penyelaras DUN berkenaan.

Katanya, tindakan Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang memutuskan kemenangannya di DUN Rantau, terbatal dan tidak sah, kelmarin, tidak menjejaskan persiapan jentera parti.

“Kerja saya berjalan seperti biasa walaupun sebelum ini menjangkakan PRK akan diadakan lebih awal jika Mohamad tidak membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Port Dickson yang dirasmikan Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Ditanya mengenai isu perebutan pemimpin Cabang Rembau untuk menjadi calon, Dr Streram berkata, perkara itu biasa dalam politik.

“Tidak timbul isu perebutan kerana ia amalan demokrasi biasa apabila masing-masing menawarkan diri. Seperti diketahui, Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam yang disokong isterinya iaitu Ketua Wanita cabang turut menawarkan diri.

“Apa pun kami masih menunggu keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai calon yang akan dipilih. Jika tidak berpihak kepada saya, usaha membantu parti tetap diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Anwar ketika berucap, meminta umat Islam memahami konsep ‘lita’arafu’ iaitu Islam agama yang menghormati agama lain dan bertoleransi dalam semua perkara.

“Perlembagaan dengan jelas menyatakan Islam agama rasmi kebangsaan dan pada masa sama mengizinkan amalan agama lain. Bagi saya, tidak perlu memohon maaf jika hadir ke program penganut (agama) lain kerana tanda penghormatan bukannya menyempurnakan ibadat agama mereka,” katanya.

Anwar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mencemarkan negara ini dengan menyentuh sensitiviti antara agama serta kaum.

“Kita perlu menolak diskriminasi antara kaum dan agama, memerangi keganasan, rasuah dan jenayah yang melanggar undang-undang,” katanya.

Berita Harian X