Sabtu, 1 Disember 2018 | 12:25pm

PKR harap perebutan jadi calon tak jejas persiapan

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan berharap isu perebutan untuk menjadi calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dalam kalangan pemimpin PKR Cabang Rembau tidak menjejaskan persiapan jentera parti peringkat bawahan.

Pemangku Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun, berkata isu itu timbul kerana beberapa pemimpin cabang menawarkan diri untuk menjadi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Katanya, nama Timbalan Ketua Cabang Rembau, Dr S Streram yang juga bekas calon PKR bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disenaraikan bersama empat nama lain termasuk Ketua Cabang berkenaan, R Tanggam.

“Ini (isu antara Dr Streram dan Tanggam) bukan perselisihan atau perpecahan, tapi perkara biasa. Setiap kali ada pertandingan, masing-masing mahu tawar diri. Ini adalah proses demokrasi dan semua pihak perlu menerimanya.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang paling layak bertanding di kerusi itu nanti. Kita berharap, isu ini tidak menggugat jentera di peringkat bawah dan tidak memberi kesan besar kepada persediaan menghadapi PRK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program khatan beramai-ramai anjuran Hospital Pakar KPJ Seremban di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aminuddin dilaporkan berkata, Dr Streram menjadi keutamaan PKR negeri untuk dinamakan sebagai calon PRK berkenaan kerana bersusah payah berjuang untuk haknya yang dinafikan apabila tidak dibenarkan bertanding pada PRU-14.

Bagaimanapun, Tanggam kemudian mengeluarkan kenyataan, meminta kepemimpinan parti itu supaya menamakan anak tempatan sebagai calon PRK Rantau kerana Dr Streram disifatkan sebagai calon ‘payung terjun’ yang berasal dari Johor.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, PKR negeri akan berusaha untuk menyatukan semula kedua-dua pemimpin cabang terbabit supaya isu itu tidak berlarutan.

“Kita akan pastikan mereka bersatu semula. Saya ingin ingatkan kepada semua supaya terima keputusan pucuk pimpinan. Jika tidak dipilih menjadi calon kali ini, mungkin anda berpeluang jadi calon pada masa depan.

“Orang yang dicalonkan kali ini pula, mungkin pada masa depan tidak lagi dicalonkan. Yang penting, kita perlu teruskan bekerja dan menjaga kredibiliti supaya sentiasa mempunyai peluang untuk menjadi calon,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen PRU-14 yang memutuskan kemenangannya di DUN Rantau, tidak sah dan terbatal di Mahkamah Persekutuan Putrajaya kelmarin, Aminuddin berkata itu adalah proses biasa.

“PKR negeri tidak mempunyai sebarang masalah dan akan akur dengan apa sahaja keputusan mahkamah. Kita teruskan persediaan dengan anggapan PRK Rantau akan tetap diadakan,” katanya.

329 dibaca
MENTERI Besar, Aminuddin Harun beramah mesra bersama sebahagian daripada 52 kanak-kanak yang meyertai Program Berkhatan di Hospital Pakar KPJ Seremban. - Foto ADZLAN SIDEK
Berita Harian X