Jumaat, 30 November 2018 | 11:47pm
DATUK C Sivarraajh (tengah) selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi yang berpihak kepadaTimbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran membenarkan petisyennya untuk membatalkan kemenangan calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidah sah akibat rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

BN akan rayu keputusan batal kerusi Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jentera BN yang ditunjangi UMNO dan MIC akan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ahli Parlimen sedia ada, Datuk C Sivarraajh akan meneruskan perkhidmatan kepada pengundi, biarpun dalam kepayahan,” katanya menerusi satu kenyataan dimuat naik di laman Twitter.

Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata, beliau berpandangan pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wang rasuah itu diberikan kepada pengundi.

Berita Harian X