Jumaat, 30 November 2018 | 7:15pm
SIVARRAAJH (tengah) bersama peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun (kanan) selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan petisyen M Manogaran membatalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Sivarraajh akan merayu pembatalan keputusan PRU-14

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh akan membuat rayuan kepada mahkamah berhubung pembatalan kemenangannya di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda MIC bagaimanapun menerima keputusan yang dibuat Mahkamah Pilihan Raya berhubung status kemenangannya namun menafikan ada merasuah penduduk Orang Asli di kawasan itu.

“Saya terima keputusan mahkamah tetapi saya menafikan pembabitan dalam sogokan wang atau rasuah.

“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan peguam untuk mengemukakan rayuan kepada mahkamah,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata beliau berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands dengan memperoleh majoriti 597 undi menewaskan Manogaran bersama calon PAS, PSM dan Berjasa dalam pertandingan lima penjuru.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kekosongan milik parti itu.

Beliau menggesa supaya jentera BN bersiap sedia menempuhi segala kemungkinan bagi menghadapi kemungkinan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“BN akan failkan rayuan terhadap keputusan mahkamah. Jentera BN ditunjangi UMNO dan MIC mesti bersiap-siaga untuk hadapi semua kemungkinan.

“Ahli Parlimen akan meneruskan perkhidmatan kepada pengundi biarkan dalam kepayahan,” katanya dalam status yang dimuat naik di Twitter, hari ini.

758 dibaca
Berita Harian X