Jumaat, 30 November 2018 | 4:57pm
Dr S Streram.

Dr Streram tak sangka Tok Mat fail rayuan

SEREMBAN: Bekas calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr S Streram, tidak menjangka Datuk Seri Mohamad Hasan, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya sebelum ini.

Beliau berkata, Mohamad kelihatan yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan selepas kemenangannya tanpa bertanding pada PRU-14 lalu diputuskan sebagai batal dan tidak sah, 16 November lalu.

“Saya tidak jangka beliau akan buat rayuan sebab nampak begitu yakin untuk lawan sebelum ini. Sebenarnya lebih elok beliau buat rayuan awal sebab proses boleh bermula lebih cepat, tapi mungkin beliau memang sengaja melambatkannya.

“Tidak dinafikan, perkembangan ini sedikit sebanyak menjejaskan momentum dan persediaan kita untuk menghadapi PRK di Rantau. Apa pun, kita tetap bersedia dan bekerja untuk masyarakat seperti biasa,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Semalam, Mohamad menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen PRU Ke-14 yang memutuskan kemenangannya di DUN Rantau, tidak sah dan terbatal di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR negeri, Mokhtar Ahmad, berkata keputusan Mohamad itu memberi kelebihan kepada pihaknya.

“Dari satu sudut, kita melihat keputusannya membuat rayuan bermakna PRK akan lebih lambat diadakan. Ini memberi banyak masa kepada PKR membuat persediaan dan mengatur strategi dengan lebih kemas dan tersusun.

“Malah, masa itu juga membolehkan perpecahan yang berlaku ketika menghadapi pemilihan parti sebelum ini bertaut semula, sekali gus membolehkan calon PKR menerima sokongan padu,” katanya.

Beliau berkata, gerak kerja menghadapi PRK berkenaan tetap diteruskan seperti biasa dan tumpuan ketika ini adalah mengenal pasti strategi paling sesuai digunakan untuk menentang Mohamad yang dianggap sebagai gergasi di Rantau.

Berita Harian X