Jumaat, 30 November 2018 | 4:25pm
TIMBALAN Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran (tiga dari kiri) meraikan kemenangan bersama-sama Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran (dua dari kiri) dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang (empat dari kiri) selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan petisyennya untuk membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Caneron Highlands dalam PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Amalan rasuah keputusan pilihan raya Parlimen Cameron Highlands terbukti

KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berkata, beliau berpandangan bahawa pempetisyen, M Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Azizah berkata, wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai , Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kini Menteri Besar Pahang) atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi untuk memilihnya.

"Sehubungan itu saya mendapati bahawa amalan rasuah berjaya dibuktikan... saya dengan ini mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands diadakan pada 9 Mei lalu adalah terbatal.

"Saya akan mengesahkan keputusan ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan melaporkan bukti amalan rasuah berjaya dibuktikan dan dilakukan dengan pengetahuan serta keizinan responden (Sivarraajh) ketika kempen pilihan raya iaitu pemberian wang untuk mempengaruhi pengundi memilihnya.


DATUK C Sivarraajh (tengah) selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi yang berpihak kepada M Manogaran membenarkan petisyennya untuk membatalkan kemenangan calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidah sah akibat rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

"Bagaimanapun, saya tidak akan melaporkan mana-mana individu yang dibuktikan melalui perbicaraan petisyen ini, sebagai bersalah melakukan amalan rasuah kerana terdapat percanggahan keterangan saksi pempetisyen melalui keterangan mereka dalam mengenal pasti siapakah yang sebenarnya memberikan wang itu," katanya.

Azizah berkata, tiada pertikaian dalam petisyen itu bahawa Orang Asli mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dari segi wang atau barang-barang daripada semua pihak termasuk bantuan mesin rumput daripada Manogaran sendiri (pempestisyen).

Hakim itu berkata, malah bukti menunjukkan bahawa wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian.

"Bagaimanapun, niat penerima adalah tidak relevan... saya berpandangan bahawa perlakuan pemberian itu yang perlu dibuktikan walaupun ada percanggahan kerana tiada keraguan wang itu diberikan kepada Orang Asli," katanya.

Azizah kemudian memerintahkan supaya responden membayar kos sebanyak RM15,000.

Pada prosiding hari ini, Manogaran diwakili peguam K Shanmuga manakala peguam Datuk Mohammad Hafarizam Harun bertindak bagi pihak Sivarraajh.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran, 59, memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Mengikut petisyen itu, Manogaran mendakwa Sivarraajh yang berkempen bersama-sama Wan Rosdy memberi rasuah antara RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi BN dan tidak mengundi calon lain.

Manogaran mendakwa, Wan Rosdy, yang juga ADUN Jelai bagi tiga penggal berturut-turut sejak PRU-11, terkenal dalam kalangan pengundi di kawasan itu.

Dakwanya, Wan Rosdy didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli yang kurang mempercayai orang luar.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan empat calon lain.

3218 dibaca
Berita Harian X