Khamis, 29 November 2018 | 5:51pm
ANWAR Ibrahim menjawab soalan media di lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Jawatan lantikan PKR selesai bulan depan

KUALA LUMPUR: Semua 24 jawatan lantikan dalam PKR bagi penggal 2018-2021 akan selesai diputuskan sebelum Januari depan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada keperluan memutuskan individu yang akan dilantik secara tergesa-gesa walaupun mengakui tempoh kira-kira sebulan itu agak panjang.

“Saya dah bincang dan benda ini tak perlu disegerakan sebab ia masih dalam proses rundingan, jadi tidak perlu terburu-buru sebab perlu dengar pandangan semua pihak.

“Ya, sebelum tahun depan selesai, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada individu yang bakal dilantik ke jawatan lantikan bagi melengkapkan barisan kepemimpinan PKR penggal 2018-2021, sudah diputuskan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, Anwar akan memutuskan semua lantikan itu selepas selesai sesi libat urus dengan pemimpin peringkat negeri dan cabang.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilaporkan antara yang bakal mengisi jawatan penting dalam pimpinan parti.

Mengulas isu politik wang dalam PKR, Anwar berkata, semua parti politik di negara ini perlu menentang budaya kotor itu bagi mencapai maksud reformasi sebenar.

“Kalau nak tuju satu parti saja tidak betul, kerana politik ini kalau nak dibersihkan daripada politik wang, cara hidup mewah, pembaziran dan perbelanjaan yang melebihi pendapatan, kita harus teliti semua perkara.

“Itu baru maksud reformasi,” katanya.

322 dibaca
Berita Harian X