Khamis, 29 November 2018 | 4:25pm

Mohamad fail rayuan

SEREMBAN: Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, tidak sah dan batal.

Rayuan ke Mahkamah Persekutuan Putrajaya difailkan pagi ini menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Pada sidang akhbar di Wisma UMNO di sini, hari ini, Mohamad berkata, keputusan untuk membuat rayuan dibuat selepas mengambil kira alasan penghakiman lisan yang diberikan oleh Hakim Azimah Omar pada 16 November lalu.

“Saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya dan berdasarkan nasihat yang diberikan oleh peguam, saya memutuskan untuk memfailkan rayuan untuk mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Keputusan ini juga dibuat untuk membebaskan saya daripada sebarang salah laku dakwaan atau salah laku semasa hari penamaan calon PRU-14,” katanya.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya Khas di sini memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau batal dan tidak sah.

Ini berikutan petisyen yang difailkan oleh calon PKR untuk Rantau, Dr S Streram pada 23 Mei untuk mencabar pengisytiharan kemenangan Mohamad yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Streram, 63, memfailkan petisyen itu selepas beliau tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya, diikuti oleh Pegawai Pilihan Raya, Amino Agus sebagai responden kedua dan SPR sebagai responden ketiga.

Mohamad berkata, rayuan yang dibuat adalah kesinambungan daripada Notis Rayuan yang difailkan oleh SPR dan Amino, semalam.

“Rayuan juga difailkan demi kepentingan pengundi di kawasan saya dan sebagai langkah terakhir untuk mempertahankan posisi saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau,” katanya.

MOHAMAD pada sidang media memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya berhubung petisyen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X