Selasa, 27 November 2018 | 10:01pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Jawatan lantikan PKR diputuskan tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Semua 24 jawatan lantikan dalam PKR akan diputuskan selepas Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selesai mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin peringkat negeri dan cabang.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Anwar sudah memulakan sesi libat urus pertama dengan pimpinan parti di Pulau Pinang dan akan diteruskan selepas pulang dari Turki.

“Perlembagaan parti memberi kuasa kepada presiden melantik lima anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), dua naib presiden, seorang setiausaha agung, seorang ketua penerangan, seorang bendahari dan 14 pengerusi negeri.

“Saya ada berbincang dengan Anwar minggu lalu dan beliau memaklumkan perlu sedikit masa untuk melakukan libat urus dan memutuskan individu bakal dilantik.

“Beliau sudah mulakan libat urus di Pulau Pinang dan akan teruskan di peringkat negeri. Ada yang beliau turun sendiri ke negeri dan ada pimpinan dipanggil bertemunya.

“Anwar perlu memastikan lantikan ini memberi keseimbangan dan kestabilan semula kepada parti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada PKR sudah memutuskan nama bakal dipilih mengisi jawatan lantikan dalam parti itu bagi penggal 2018-2021.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dilaporkan antara yang bakal mengisi jawatan penting dalam pimpinan parti.

Mengenai calon bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Saifuddin berkata, belum ada keputusan dibuat kerana Anwar berada di Turki manakala Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam rangka lawatan kerja ke Qatar.

PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November lalu, mengisytiharkan kemenangan calon UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah tidak sah dan terbatal.

1045 dibaca
Berita Harian X