Ahad, 25 November 2018 | 4:23pm
TIMBALAN Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Dr Streram sedia bantu parti jika tidak terpilih

REMBAU: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, bersedia membantu parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, walaupun tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi itu.

Dr Streram berkata, walaupun berharap diberi kepercayaan oleh kepemimpinan tertinggi parti untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, beliau lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding diri sendiri.

“Jika tidak dicalonkan, saya akan beri sokongan kepada calon yang dipilih. Saya akan bekerja untuk memenangkan calon yang diumumkan PKR mewakili Pakatan Harapan (PH). Ini bukan hal peribadi, ini hal parti,” katanya di sini, hari ini.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya memberi keutamaan untuk menamakan Dr Streram sebagai calon PRK itu berikutan sudah lama berjuang untuk mendapatkan haknya yang dinafikan sebelum ini.

Bagaimanapun, Ketua PKR Cabang Rembau, R Tanggam, dilaporkan meminta kepemimpinan parti itu supaya menamakan anak tempatan sebagai calon PRK Rantau, sekali gus menolak Dr Streram yang dianggap calon payung terjun kerana berasal dari Johor.

Aminuddin bagaimanapun menegaskan isu itu tidak sepatutnya timbul kerana Dr Streram sudah dipilih sebagai Timbalan Ketua Cabang Rembau, menandakan penerimaan ahli kawasan itu terhadapnya dalam pemilihan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Streram yang juga pakar bius, berkata beliau menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan mengenai calon paling sesuai bertanding pada PRK berkenaan.

Beliau yang menjadi calon PKR bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, berdasarkan keadaan semasa yang menyaksikan penerimaan rakyat terhadap PH, beliau yakin PKR mampu menang pada PRK Rantau.

“Jika saya sendiri dicalonkan, saya yakin peluang untuk menang cerah iaitu sekitar 60 peratus. Ini kerana saya sudah lama bekerja mendekati masyarakat setempat,” katanya.

518 dibaca
Berita Harian X