Ahad, 25 November 2018 | 2:03pm
AHLI Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon berucap pada Himpunan Kemenangan dan majlis kesyukuran PKR Batu Pahat, malam tadi. - Foto Mohd Farid Noh

Calon PKR PRK Rantau dibincang Selasa ini

BATU PAHAT: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan dibincangkan pada mesyuarat Biro Politik PKR, Selasa ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Biro Politik PKR berkata, mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan pelbagai isu berbangkit lain.

“Siapa calon PKR untuk menghadapi PRK DUN Rantau akan dibincangkan pada Mesyuarat Biro Politik PKR, Selasa ini.

“Ia sebagai persediaan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman PRK DUN Rantau akan diadakan,” katanya selepas Himpunan Kemenangan dan majlis kesyukuran PKR Batu Pahat, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar yang juga Setiausaha PKR Johor.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban, pada Jumaat 16 November lalu, mengisytiharkan kemenangan calon UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi PRK Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas calon PKR, Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun pula berkata PRK tersebut hanya akan diadakan jika tiada rayuan terhadap keputusan mahkamah itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari bermula 16 November lalu.

Sementara itu, Mohd Rashid yang juga Timbalan Speakar Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata pada mesyuarat Selasa ini juga, senarai lima nama yang dikemukakan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, akan diperincikan lebih lanjut.

Berita Harian X