Rabu, 21 November 2018 | 11:59pm
DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto SAIRIEN NAFIS

Rafizi aset penting PKR - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli disifatkan aset penting dalam parti, sekali gus dibayangkan bakal diberikan jawatan penting oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau sangat optimis Rafizi mempunyai tempat sangat penting yang akan diputuskan Anwar dalam waktu terdekat.

“Saya percaya dia aset penting dan insya-Allah dalam masa terdekat Datuk Seri Anwar sebagai presiden mengumumkan barisan kepemimpinan yang baharu.

“Saya sangat optimis dia ada tempat dan tempat itu adalah yang sangat penting di sisi kepemimpinan Keadilan (PKR).

“Saya tidak berfikir bakat, pengorbanan dan rekodnya bersama PKR itu akan disisihkan hanya kerana dia tak terpilih sebagai Timbalan Presiden. Itu tidak akan berlaku,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada program Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 dan dihoskan pengacara Ally Iskandar dan Hazrena Kassim di Sri Pentas di sini, malam ini.

Terdahulu pada siaran yang bermula 11 malam itu, Hazrena turut meminta pandangan Saifuddin sebagai antara pengasas parti berhubung pertembungan antara kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi yang diibaratkan seperti retak menanti belah.

Mengulas andaian itu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, beliau melihatnya dari sudut pandang individu yang mengasaskan parti pada April 1999.

“Bermakna sepanjang 20 tahun itu saya tidak pernah keluar daripada ‘kelambu’ Keadilan. Saya bukan duduk di kaki lima dan saya memilih untuk berbeza pendapat.

“Saya optimis kesan pemilihan ini walaupun dipandang setengah kalangan sebagai serius, ibarat retak menanti belah tetapi saya melihatnya seperti air dicincang tidak akan putus, carik carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, bagai aur dengan tebing kerana saya optimis bahawa masa itu akan menyembuhkan.

“Tumpuan berlebihan ini kerana ketika ini Keadilan menjadi parti memerintah, sebab itu hari-hari tumpuan diberikan sehingga ia menimbulkan semacam satu gelisah yang luar biasa sedangkan Keadilan adalah parti yang dinamik dan mengamalkan demokrasi,” katanya.

Menurutnya, perlembagaan parti membenarkan pemilihan parti dibuat dan mengingatkannya terhadap sejarah parti bermula dengan Dr Chandra Muzaffar sebagai timbalan presiden, diikuti Abdul Rahman Othman.

“Kemudian Syed Husin Ali, diambil alih oleh saudara Azmin yang pernah dicabar oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, saya sendiri pernah mencabar ketika itu (tapi) tumpuan tak diberikan kerana ketika itu kami pembangkang.

“Apakah tempoh itu tidak mencemaskan? Cemas, tapi apakah Keadilan itu berpecah berantakan? Jawapannya tidak. Perbezaan pendapat itulah yang mengukuhkan Keadilan.

“Dalilnya Keadilan bermula dengan parti kecil sekarang ini parti terbesar dan kalau berantakan itu menjadi kebimbangan, parti yang berantakan itu tidak akan menangkap imaginasi rakyat.

“Jadi hari ini saya melihat ia satu proses pemilihan. Benar ada perbezaan pendapat, berlaku ketegangan, berlaku kelemahan dalam sistem dan sebagainya.

“Tapi saya fikir Keadilan dalam usianya yang matang melihat bahawa kedua-dua nama besar ini Azmin dan Rafizi ada tempat dalam parti dan insya-Allah masa akan menyembuhkan,” katanya.

Berita Harian X