Rabu, 21 November 2018 | 3:39pm
Dr S Streram. - Foto Iqmal haqim Rosman

PRK Rantau: Dr S Streram keutamaan PKR Negeri Sembilan

SEREMBAN: PKR Negeri Sembilan memberi keutamaan untuk menamakan Dr S Streram sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusinya, Aminuddin Harun, berkata Dr Streram yang juga bekas calon bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah lama berjuang untuk mendapatkan haknya yang dinafikan sebelum ini.

“Kita akan hantar dua atau tiga nama calon, tetapi nama Dr Streram adalah keutamaan PKR negeri. Beliau terbabit dalam persediaan PRU di Rantau sejak awal dan kemudian bersusah payah membuat rayuan di mahkamah apabila tidak dibenarkan bertanding.

“Semua itu adalah usaha dan komitmennya sendiri. Tidak patut jika saya tidak letakkan namanya sebagai calon sedangkan beliau sudah berjasa dan membuat kerjanya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini Jumaat lalu memutuskan kemenangan tanpa bertanding Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN Rantau pada PRU-14 lalu, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau perlu diadakan serta-merta.

Dr Streram turut dilaporkan berkata, tidak adil jika beliau tidak dinamakan untuk bertanding sedangkan berusaha memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Mohamad.

Aminuddin yang juga Menteri Besar, berkata Dr Streram mempunyai peluang menang kerana sudah lama membuat persediaan termasuk mendekati masyarakat setempat, malah masih meneruskannya dengan jawatan sebagai Penyelaras DUN Rantau.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan muktamad terletak kepada kepemimpinan parti peringkat pusat.

759 dibaca
Berita Harian X