Isnin, 19 November 2018 | 7:50pm
ABANG Johari

GPS wadah perjuangan 'Anak Sarawak'

SIBU: Pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) jelas memperlihatkan keutuhan amalan demokrasi di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg turut menghargai komitmen Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memastikan kelancaran proses pendaftaran gabungan berkenaan.

“GPS sebagai sebuah entiti politik yang memperjuangkan aspirasi ‘Anak Sarawak’ akan terus mendukung amalan demokrasi itu demi kepentingan negeri dan negara.

“Lama kita menunggu proses ini dan sudah pasti dengan daftarnya GPS, kita dapat menjadi wadah perjuangan negeri ini dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali Ke-65 di Dewan Suarah Sibu di sini hari ini.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), GPS turut dianggotai tiga lagi parti komponen iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS ditubuhkan selepas keempat-parti itu membuat keputusan keluar Barisan Nasional (BN), sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 10 Mei lalu.

Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Pengerusi GPS turut yakin kolaborasi Sarawak-Pusat mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Yang pasti, GPS tidak akan sama seperti BN dari segi penerimaan parti baharu untuk masuk ke gabungan parti itu. Kita sudah ada persetujuan bersama.

“Jika tiga perempat daripada kita bersetuju menerima parti baharu, bermakna kita boleh mempertimbangkan parti-parti lain untuk masuk ke GPS. Kalau BN dahulu, ia mestilah 100 peratus disokong (parti komponen)... sekarang tidak semestinya 100 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelulusan pendaftaran gabungan itu sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi perjuangan rakyat Sarawak.

“GPS mengambil pendirian bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri serta kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini juga membolehkan kita bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak ‘Anak Sarawak’ yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama,” katanya.

Pada masa yang sama, GPS komited terhadap usaha melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

“Gabungan baharu ini akan membolehkan Sarawak memberi lebih tumpuan terhadap kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Berita Harian X