Isnin, 19 November 2018 | 1:10pm
DR S Streram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Ia tidak adil kepada saya - Dr Streram

SEREMBAN: Bekas calon kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau dari PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr S Streram berkata tidak adil jika beliau tidak dinamakan untuk bertanding.

Katanya, beliau sudah berkhidmat dan bekerja untuk penduduk Rantau sejak beberapa tahun lalu.

“Saya juga mengambil semua masalah untuk memfailkan petisyen PRU-14 untuk memastikan keadilan dapat disampaikan.

“Tidak adil kepada saya jika saya tidak dinamakan untuk bertanding,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Bagaimanapun, Dr Streram berkata pucuk pimpinan PKR dan Pakatan Harapan akan menentukan calon PRK itu tetapi beliau yakin akan dicalonkan semula.

Dr Streram berkata, Menteri Besar Aminuddin Harun juga menyatakan sokongannya terhadapnya dan percaya beliau akan dapat membawa kemenangan pada PRK itu.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, supaya calon wanita diletakkan di PRK itu.

Zuraida berkata beliau akan mencadangkan nama dua Wanita PKR kelahiran Negeri Sembilan sebagai calon untuk bertanding dalam PRK DUN Rantau kerana tiada calon wanita diletakkan di negeri itu pada PRU-14.

“Dia (Zuraida) boleh mengatakan apa sahaja yang dia mahu. Tetapi pada penghujung siapa calon hanya akan ditentukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden,” katanya.

Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini Jumaat lalu memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan bagi DUN itu selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, isu yang dibawa dalam petisyennya.

Berita Harian X