Ahad, 18 November 2018 | 6:46pm
ANWAR ketika menyampaikan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Jaga disiplin atau keluar PKR - Anwar

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada seluruh ahli dan pemimpin PKR supaya mengutamakan disiplin atau bersedia ‘ditendang’ keluar jika gagal mematuhi disiplin parti.

Presiden PKR yang baru dipilih itu tidak menunggu lama menzahirkan ketegasannya kerana sedih dan marah melihat tindak tanduk segelintir ahli sama ada di luar atau ketika waktu pemilihan parti berlangsung selama tiga bulan sejak September lalu terutama membabitkan persaingan jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, antara isu disiplin yang menjadi keutamaan dalam radar beliau ialah penyebaran pelbagai cerita negatif, tuduhan tidak berasas dan caci maki serta cercaan dilemparkan segelintir ahli atau ‘macai’ terhadap tokoh serta pemimpin PKR yang bertanding dalam pemilihan parti tempoh hari.

“Saya mesti selesaikan masalah disiplin parti ini. Bukan saja semasa atau di luar masa pemilihan. Kalau tak suka mana-mana pemimpin, dia bantai cukup-cukup.

“(Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan Rafizi (Ramli) tiada masalah, tetapi mereka yang bertindak seperti macai, mereka sibuk caci maki, mencerca dan menghasut.

“Sikap seperti ini tidak layak untuk menjadi pemimpin. Saya baca laporan sepanjang tiga bulan pemilihan. Saya lihat gambar ahli bergaduh. Saya sedih.

“Tapi boleh anda nafikan sumbangan Azmin dan Rafizi kepada parti? Tidak perlu pun mencerca. Saudara ikut disiplin atau ditendang keluar dari parti,” katanya ketika menyampaikan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, hari ini.

Ia adalah ucapan sulung beliau selepas disahkan menjadi Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 20 tahun lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut menyentuh cerita negatif membabitkan beliau ‘bercakaran’ dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya menyokong penuh kepemimpinan Dr Mahathir. Timbul juga cerita kononnya saya mahukan layanan istimewa dan mengambil pesawat ditaja orang tertentu.

“Tolong hentikan semua perkara mengarut, keboborokan dan bodoh ini. Saudara fikir saya pelahap sangat semua itu? Kalau timbul cerita seperti ini, saya tangkap dan terajang saudara,” katanya.

Menyentuh peranannya sebagai presiden, Anwar berkata, beliau akan memastikan parti akan mencapai matlamatnya dan meneruskan perjuangannya membela keadilan khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Saya tidak berhasrat menjadi presiden, lebih senang jadi Ketua Umum, jawatan tinggi tanggungjawab kurang. Tapi ramai bertemu saya meminta saya jadi presiden.

“Isteri saya beritahu, jangan buat perwakilan terkejut dengan ucapan saya. Tetapi hendak tegaskan, saya akan lebih tegas dan bertanggungjawab memimpin parti,” katanya.

Berita Harian X