Ahad, 18 November 2018 | 5:43pm
RAFIZI menggulung ucapan dasar presiden pada Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Shamsul cadang Rafizi tanding di Rantau

SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, hari ini mencadangkan supaya calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, dipilih bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

“Barisan Nasional (BN) sudah mengumumkan mereka akan meletakkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon.

“Pada pendapat saya, tidak ada salahnya jika kita meletakkan mantan calon Timbalan Presiden (Rafizi) untuk bertanding di Rantau tapi kalau tak boleh, tak mengapalah.

“Saya juga bertanding di kerusi DUN (pada Pilihan Raya Umum Ke-14) tetapi saya kalah. Mungkin saya boleh bertanding di kerusi DUN Rantau,” katanya berseloroh.


SHAMSUL mencadangkan Rafizi dipilih bertanding PRK DUN Rantau. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pada PRU-14, Shamsul Iskandar kalah di kerusi DUN Rim tetapi menang di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.

Semalam, Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nama Rafizi turut dicadangkan untuk diletakkan sebagai calon dalam PRK Rantau.

Rafizi yang menggulung selepas itu bagaimanapun sekali lagi menegaskan beliau tidak akan bertanding di kerusi Rantau yang diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Jumaat lalu, walaupun beliau dibayar RM50 juta sekali pun dan sebaliknya berkata, calon yang terbaik adalah Dr S Streram.

935 dibaca
Berita Harian X