Ahad, 18 November 2018 | 3:40pm
Dr Wan Azizah mengingatkan pemimpin dan ahli supaya menjaga parti PKR dengan baik selepas beliau meninggalkannya dalam keadaan terbaik. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Jaga PKR baik-baik - Dr Wan Azizah

SHAH ALAM: Menginsafi yang beliau tidak lagi menjadi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pemimpin dan ahli supaya menjaga parti itu dengan baik selepas beliau meninggalkannya dalam keadaan terbaik.

Selepas memimpin parti itu selama 20 tahun, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan PKR dan perjuangannya perlu dipertahankan bagi membolehkan agenda reformasi dilaksanakan terutama dalam pentadbiran negeri dan Pusat.

“Saya meninggalkan parti ini dalam keadaan terbaik. Kita kena ingat, kita parti yang bermula dari bawah. Kita mula dengan gerakan reformasi rakyat.

“Kita melalui susah payah dulu. Ini adalah asas perjuangan kita (reformasi). Jangan kita lupa sebab itu ujian masa kita susah.

“Tapi kita kena ingat ujian masa senang lebih menguji ketahanan dan kekentalan kita. Oleh saya minta jagalah parti ini baik-baik.

“Jangan kita lupa perjuangan ini untuk keadilan dibela. Keadilan untuk semua. Rakyat terbanyak perlu dibela, kita pegang pada janji ini,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan Ke-13 di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 20 tahun lalu bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pemilihan parti itu tahun ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson diangkat sebagai Presiden PKR yang baharu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu.

Sementara itu, Dr Wan Azizah mengingatkan pemimpin parti untuk memperbetul dan membersihkan diri jika mahu memastikan agenda reformasi serta ‘membersihkan’ negara ini diteruskan.

“Doakan yang terbaik. Kita rakyat Malaysia yang sayangkan negara, sabar sikit sebab lepas 60 tahun kita baru tukar kerajaan.

“Memang banyak kepincangan, bukan mudah hendak betulkan, yang penting betulkan dan bersihkan diri dan parti untuk kita bersihkan negara kita,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, parti perlu menyedari yang agenda reformasi adalah satu proses berterusan yang memerlukan sokongan dan komitmen setiap ahli dan pemimpin parti.

“Ia bukan agenda yang meniti di bibir dan dilaung di udara dan ditulis di kalam. Ia lahir daripada jiwa kita sendiri dan perlu jelas prinsip serta idealisme agenda reformasi.

“Usaha menterjemah agenda reformasi tidak boleh dicapai jika ia hanya diperjuang seorang individu, tapi ia akan berjaya dengan sokongan semua anggota dan pemimpin keadilan itu sendiri,” katanya.

527 dibaca
Berita Harian X