Ahad, 18 November 2018 | 1:30pm
NAIB Ketua PKR Cabang Rembau, Dr S Streram. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Dr Streram layak kekal sebagai calon - Aminuddin

SEREMBAN: Naib Ketua PKR Cabang Rembau, Dr S Streram wajar dikekalkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan datang.

Ia diakui oleh Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang menyifatkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Jumaat lalu, membatalkan kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan disebabkan oleh usaha Dr Streram memfailkan petisyen.

“Kita menyedari segala jasa Dr Streram kepada parti. Perjuangan beliau jugalah berjaya memenangkan kerajaan negeri yang ada sekarang ini.

“Bagi pihak PKR negeri, saya berpendapat Dr Streram patut diberi peluang (sebagai calon) tetapi segala keputusan (meletakkan siapa calon yang bertanding) terletak pada pucuk pimpinan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pucuk pimpinan parti mengenai calon PRK DUN Rantau, pada minggu depan.

Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini, Jumaat lalu memutuskan kemenangan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan PRK bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada PRU-14 perlu diadakan serta-merta.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam respondan, Mohamad yang berlangsung selama 12 hari membabitkan 19 saksi perbicaraan.

Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli antara yang disebut sebagai calon mewakili PKR pada PRK berkenaan.

Malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Selangor kelmarin, turut mengesahkan nama Mohd Rafizi antara yang dibangkitkan sebagai calon.

Bagaimanapun, Mohd Rafizi semalam mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada PRK DUN Rantau selain berpendapat Dr Streram adalah calon paling sesuai.

976 dibaca
Berita Harian X