Sabtu, 17 November 2018 | 5:21pm
Ketua AMK baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - Foto BERNAMA

Pastikan menteri jalankan amanah - AMK

SHAH ALAM: Ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu terus berjuang memastikan Pakatan Harapan (PH) sentiasa melaksanakan amanah.

Ketua AMK baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata jika sebelum ini AMK berjuang melawan UMNO atas faktor rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, kini sayap parti itu perlu terus berjuang memastikan menteri melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, perjuangan itu perlu supaya AMK dapat mengangkat hak rakyat.

“Kita tahu kekangan dari segi kewangan, tenaga dan masa tapi apa kita harapkan, sekurang-kurangnya kerajaan PH tunjukkan mereka mengangkat suara anak muda.

“Soal PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), betul sekarang kewangan susah tetapi jika tidak dapat laksanakan janji itu, sekurang-kurangnya tunjukkan kesungguhan.

“Bukan kata (beri kenyataan) pengecualian gaji bawah RM1,000 sedangkan gaji minimum adalah RM1,050,” katanya ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Ke-13, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, sekarang adalah masa untuk menguatkan kepemimpinan supaya PH dapat membawa perubahan.

Katanya, ketika ini cabaran yang didepani mereka sangat hebat selain situasi apabila anak muda mahukan perubahan.

“Untuk bawa perubahan ini, dapat persetujuan tak, jika (kita) letakkan Kak Wan (Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ke tempat paling sesuai?

“Kalau bukan Ketua Umum, jadilah Penasihat selagi masih bergelar Timbalan Perdana Menteri.

“Kita juga kena pastikan bila tiba masanya, Anwar (Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim) diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan,” katanya.

346 dibaca
Berita Harian X