Sabtu, 17 November 2018 | 2:41pm
KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malaungkan reformasi ketika menghadiri Majlis Perasmian Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

E-undi akan dikaji semula - Anwar

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti akan mengkaji semula sistem pemilihan partinya sebaik sahaja mengambil alih jawatan Presiden.

Beliau berkata, kajian itu akan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melihat semula keseluruhan proses berkenaan.

“Saya sering menyentuh isu membabitkan keseluruhan proses sejak dari awal tetapi ia hanya sekadar pandangan peribadi kerana (proses pemilihan) amat rumit dan perlu diselia secara profesional.

“Apa yang boleh saya cadangkan ialah sebaik saja saya mengambil alih jawatan Presiden, sebuah jawatankuasa khas akan mengkaji semula keseluruhan proses pemilihan parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya berhubung masalah yang menyelubungi sistem e-undi (undi atas talian) pada Pemilihan PKR 2018 baru-baru ini.

Pemilihan PKR 2018 yang pertama kali menggunakan sistem e-undi menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota parti berkenaan selepas wujud pelbagai masalah termasuk undi hilang.

Selain itu, keputusan pemilihan di beberapa cabang terpaksa ditangguhkan berikutan masalah sistem terbabit.

Mengulas mengenai dakwaan undi hilang, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, PKR mempunyai kumpulan audit bebas yang akan melihat masalah terbabit.

“Apa yang lebih penting ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat isu kehilangan undi serta dakwaan rasuah sepanjang pemilihan parti,” katanya.

Berita Harian X