Sabtu, 17 November 2018 | 12:56pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) (kanan) sempena Kongres Nasional Tahunan Wanita Ke-13 2018 di Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC), semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha (kiri). - Foto BERNAMA

Calon wanita paling sesuai di PRK Rantau - Wanita PKR

SHAH ALAM: Calon wanita dianggap paling sesuai bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berikutan adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan mendukung peranan wanita.

Naib Ketua Wanita PKR, Sangheeta Jayakumar, berkata, tindakan meletakkan calon wanita juga perlu berikutan kurang wakil rakyat wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

“Wanita PKR akan mempertimbangkan nama individu yang berkelayakan untuk dijadikan calon PRK Rantau.

“Menjadi tanggungjawab sayap Wanita untuk mempertahankan keperluan dan penyertaan golongan wanita dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sangheeta berkata, calon wanita juga turut bersesuaian dengan dasar diketengahkan PKR iaitu mensasarkan 30 peratus penyertaan wanita dalam kelompok pembuat dasar.

Semalam, bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata, pihaknya mahu wanita diletakkan sebagai calon PRK Rantau yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Zuraida berkata, beliau sudah mempunyai dua nama wanita PKR tempatan yang berkelayakan untuk diketengahkan sebagai calon.

Mahkamah Tinggi Seremban, semalam memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar, turut memutuskan supaya PRK di kawasan itu diadakan serta-merta.

385 dibaca
Berita Harian X