Sabtu, 17 November 2018 | 11:38am
Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. - Foto Syarafiq Abd Samad

Rafizi calon sesuai lawan Tok Mat - Penganalisis

SUNGAI PETANI: Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilihat calon paling sesuai diletakkan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata PH perlu meletak calon yang berpengalaman serta mempunyai nama untuk berhadapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

“PH terutama PKR perlu meletak calon yang berwibawa untuk bersaing dengan Mohamad. Jika dilihat dalam PKR ketika ini, yang bersaing hebat adalah Rafizi.

“Beliau bertanding Timbalan Presiden PKR pun hanya kalah tipis. Saya tidak nampak calon lain yang sesuai dibandingkan Rafizi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rusdi berkata, pertembungan Mohamad dan Rafizi diibaratkan buku bertemu ruas selain boleh menggambarkan senario terkini sokongan rakyat kepada PH atau pembangkang.

“Jika dilihat populasi di DUN Rantau, jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu adalah kira-kira 50-50. Kemungkinan besar sokongan orang Cina dan India adalah kepada PH. Jika PKR meletakkan calon bukan Melayu, ia adalah kerugian.

“Kita juga perlu lihat siapa golongan pengundi paling ramai. Jika pengundi muda dan Rafizi yang bertanding kemungkinan besar mereka akan pilih beliau,” katanya.

Beliau berkata, tidak akan timbul isu tidak puas hati dalam kalangan ahli PKR walaupun parti itu merancang meletak calon bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Walaupun Rafizi menolak, jika pucuk pimpinan mahukan beliau menjadi calon, dia kena bertanding juga.

“Kawasan Negeri Sembilan ini kawasan beliau juga, yang memenangkan PH pun usaha Rafizi juga. Banyak usaha dilakukan beliau ketika PRU-14 lalu,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Tinggi Seremban semalam memutuskan kemenangan Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai tidak sah dan terbatal.

Mohamad menang tanpa bertanding kerusi itu selepas calon PKR, Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lalu, ekoran tidak memiliki pas dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, pakar bius itu memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Berita Harian X