Sabtu, 17 November 2018 | 9:04am

Kongres Nasional PKR Pusat bermula hari ini

SHAH ALAM: Kongres Nasional PKR 2018 yang pertama kali diadakan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan berlangsung hari ini, dengan tumpuan pastinya terarah kepada ucapan dasar presiden.

Selain akan membentuk hala tuju parti selepas kerajaan baharu, ia juga adalah ucapan terakhir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden pertama parti itu sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Ucapan bagi membuka tirai secara rasmi kongres dua hari berkenaan dijadual bermula 9.25 pagi, sebelum diteruskan dengan penyampaian anugerah dan perbahasan ucapan dasar.


Sebahagian pemehati persidangan membuat pendaftara masuk ketika hadir ke Majlis Perasmian Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kongres kali ke-13 itu juga akan memperkenalkan barisan kepemimpinan tertinggi PKR, esok yang antara lain menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai presiden parti baharu selepas menang tanpa ditandingi.

Anwar, baru-baru ini dipilih menjadi wakil rakyat selepas menang kerusi Parlimen Port Dickson dalam pertandingan tujuh penjuru dijadualkan menyampaikan ucapan penangguhan presiden baharu pada sebelah petang sebelum persidangan ditangguhkan jam 4 petang.

Seramai 2,735 perwakilan menyertai kongres berkenaan yang bermula dengan kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita semalam. – BERNAMA


Ketua AMK yang baharu, Akmal Nasir, berucap ketika Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional PKR di IDCC, Shah Alam, semalam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

1504 dibaca
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melaungkan Reformasi ketika hadir ke Majlis Perasmian Kongres KEADILAN ke-13, 2018 di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X