Jumaat, 16 November 2018 | 7:19pm
ZURAIDA (tengah) bersama Ketua Wanita yang baharu dipilih, Haniza Mohamed Talha (kiri) dan Naib Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi (kanan) pada Kongres Wanita Nasional PKR di Shah Alam. - NSTP/Aziah Azmee

Wanita PKR serah dua nama calon PRK DUN Rantau

SHAH ALAM: Wanita PKR mahu wanita diletakkan sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Calon Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sudah mempunyai dua nama wanita PKR tempatan yang berkelayakan untuk diketengahkan sebagai calon.

"Saya ada dua nama untuk dicadangkan kepada pimpinan parti dan kedua-dua mereka sememangnya berkelayakan untuk bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar, turut memutuskan supaya PRK di kawasan itu diadakan serta-merta.

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata harapannya itu memandangkan tiada wanita diangkat sebagai calon di Negeri Sembilan pada PRU-14 Mei lalu.

“Sebab itu, saya berharap peluang diberi kepada wanita di DUN Rantau kali ini, saya harap pimpinan parti akan berikan pertimbangan untuk calon wanita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita yang baharu dipilih, Haniza Mohamed Talha berkata, beliau juga mahu calon PKR DUN Rantau diisi oleh calon wanita.

“Kita sudah mempunyai calon berkelayakan tetapi belum boleh mendedahkan siapa buat masa ini,” katanya.

931 dibaca
Berita Harian X